Artikel 153 Perlembagaan Malaysia
Artikel
153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang
di-Pertuan Agong menjaga hak keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal
Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel
mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusat melindungi kepentingan
kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam
perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya
dianggap sebagai sebahagian daripada sosial kontrak, dan biasanya
dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu — kepercayaan
orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk asal Malaysia.
Berikut adalah penyataan penuh Artikel 153 Perlembagaan Malaysia.
Perkara
153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi
orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.
(1)
Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan
istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan
Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara
ini.
(2)
Walau apa pun apa-aa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk
kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan
Agong hendaklah menjalnakan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan
undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk
meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana
antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi
orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak
apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong
daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam
sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan
pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang
diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa
permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi
mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk
kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan
lesen itu.
(3)
Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2),
perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri
Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa,
danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas
lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu
kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau
kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan
tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan
pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya
atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.
(4)
Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang
persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak
boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang
dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau
keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang
dinikmati olehnya.
(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136.
(6)
Jika menurut undang-undang persekutuan yang sedia ada suatu permit atau
lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau
perniagaan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan fungsinya di
bawah undang-undang itu mengikut apa-apa cara, atau memberikan apa-apa
arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan di bawah
undang-undang itu dengan pemberian permit atau lesen itu, sebagaimana
yang dikehendaki untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada
permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara
Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh
Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklaah mematuhi arahan
itu dengan sewajarnya.
(7)
Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh berkuat kuasa untuk
melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak,
keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada
orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu atau untuk
memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen
mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen
kepada waris, pengganti atau penerima serah hak seseorang jika
pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan
mengikut perjalanan biasa keadaan.
(8) Walau
apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika menurut mana-mana
undang-undang persekutuan apa-apa permit atau lesen dikehendaki bagi
mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka undang-undang
itu boleh membuat peruntukan bagi perizaban apa-apa perkadaran daripada
permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara
Negeri Sabah dan Sarawak; tetapi tiada undang-undang sedemikian boleh,
bagi maksud memastikan perizaban itu—
(a)
melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak,
keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada
orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu; atau
(b)
memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen
mana-manaa orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen
kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang jika
pembaharuan atau pemberian itu mengikut peruntukan yang lain dalam
undang-undang itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan
biasa keadaan, atau menghalang mana-mana orang daripada memindahkan
hakmilik bersama dengan perniagaannya apa-apa lesen yang boleh
dipindahkan hakmiliknya untuk mengendalikan perniagaan itu; atau
(c)
jika tiada permit atau lesen dahuluya dikehendaki bagi mengendalikan
pertukangan atau perniagaan itu, memberi kuasa untuk menolak pemberian
permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi mengendalikan apa-apa
pertukangan atau perniagaan yang telah dijalankan olehnya secara bona
fide sebaik sebelum undang-undang itu mula berkuat kuasa, atau memberi
kuasa untuk menolak pembaharuan kemudiannya mana-mana permit atau lesen
mana-mana orang, atau untuk menolak pemberian mana-mana permit atau
lesen sedemikian kepada waris, pengganti atau penerima serah hak
mana-mana orang itu jika, mengikut peruntukan yang lain dalam
undang-undang itu, pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya
dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.
(8A)
Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam
mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang
memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau
yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak
berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau
institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus
pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat
tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut
kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak
berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada
tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara
Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang
di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu
dengan sewajarnya.
(9)
Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk
menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban
bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan
Sarawak.
(9A)
Dalam Perkara ini ungkapan “anak negeri” berhubung dengan Negeri Sabah
atau Sarawak hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam
Perkara 161A.
(10)
Perlembagaan Negeri yang ber-Raja boleh membuat peruntukan yang
bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan peruntukan Perkara ini.
Terdapat
perbezaan ketara di antara artikel 153 perlembagaan Malaysia dengan
artikel 153 perlembagaan Singapura yang masing-masing menyebut mengenai
hak istimewa orang Melayu. Artikel 153 (Malaysia) lebih spesifik dengan
menjelaskan bagaimana hak-hak orang Melayu dan Bumiputra Malaysia
dipertahankan.
0 ulasan:
Catat Ulasan